Ada
beberapa buah buku yang disebarkan dengan agak meluas dalam masyarakat
memuatkan kisah Sayyidina Umar r.a kononnya telah membunuh seorang anak
perempuan dengan menanamnya hidup-hidup, seperti buku Sepuluh Sahabat
Dijamin Ahli Syurga oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional
Pte. Ltd (1984), ms. 50-51. Terdapat juga dua artikel yang disiarkan di
dalam akhbar Harakah. Satunya disiarkan sebagai bahan bacaan untuk
kanak-kanak di ruangan BESTARI (Harakah, 18 Disember 1998), dan satu
lagi artikel hasil penyelidikan satu kumpulan yang memakai nama ILHAM
(Harakah, 30 Nov. 1998). Kedua-duanya memuatkan cerita yang sama dengan
sedikit perbezaan ibaratnya.
Jika
cerita yang seperti itu disiarkan oleh musuh Islam tentu sekali tidak
ada maksud lain lagi bagi mereka selain untuk memburuk-burukkan imej
Sayyidina Umar r.a sebagai sahabat karib Rasulullah (s.a.w) dan khalifah
agung umat Islam.
Cerita
yang seperti ini jika disebarkan oleh kalangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah,
pada pandangan penulis ada dua kemungkinan yang mendorong mereka
menyebarkannya. Pertama, kerana jahil dan kedua adalah kerana menganggap
kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a berada di zaman jahiliah.
Apa
peliknya andaikata semasa jahiliah itu Sayyidina Umar r.a telah
melakukan demikian! Selain itu bukankah ini menunjukkan kehebatan Islam?
Dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk
peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Umar r.a itu pun setelah
memeluk Islam menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh
untuk umat Islam kemudian.
Bagi
penulis tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan
manusia kerana ini telah pun terbukti melalui sekian banyak
riwayat-riwayat yang sahih. Tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman
Sayyidina Umar r.a ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas
atau ia hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?
Alangkah
berguna kepada para pembaca sekalian sekiranya penulis buku-buku dan
artikel-artikel tersebutmengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya
amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan
dengan penuh tanggungjawab.
Kisah
ini tidak akan dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam
kitab-kitab hadits atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu sekali
mulanya ia direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali kita
umat Islam hari ini kerana menerima apa saja yang disogokkan dalam
bentuk cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah (s.a.w) telah
pun bersabda yang bermaksud;
“Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa saja yang didengarnya.” (Hadits Riwayat Muslim)
Tujuan
penulis mengoreksi artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk
memelihara kesucian sejarah hidup sahabat Rasulullah (s.a.w), juga untuk
memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah,
penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati
apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah (s.a.w) dan
sahabat-sahabat Baginda (s.a.w) kerana mereka adalah cermin agama Islam.
Supaya
lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian
terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a menanam hidup-hidup anak
perempuannya (sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar tersebut).
Begini ceritanya ...
“...
Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang
digalinya. la menangis. Umar tidak menghiraukannya. ... Umar menutupkan
mata dan terfikir, “Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau
dilahirkan sebagai perempuan?” la menangis. Tangannya gementar, tubuhnya
menggigil. “Umar, jangan jadi pengecut,” tiba-tiba suara itu terdengar
berulang kali di telinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar
meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu
menghembuskan nafasnya yang terakhir ...”
Selain
kisah ini tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia
juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulama’ Islam
dalam menilai sesuatu cerita.
Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:
1.
Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk
membuktikan seorang pun daripada qabilah Quraisy pernah menanam anak
hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh
anak perempuan sendiri.
2.
Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan
setengah-setengah qabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan
menimpa mereka disebabkan anak-anak itu. (Mohd Tayyib an-Najjar,
al-Qabasu al-Waddha’, ms. 78, Zakaria Bashier,The Meccan Crucible, ms.
24).
Sebagaimana
adanya riwayat menyebutkan Qais bin Asim, seorang pemimpin qabilah Bani
Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup
8 orang anak perempuannya di zaman jahiliah,di sana terdapat juga
riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari qabilah yang sama telah
menyelamatkan sekian ramai anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh
ibubapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak
perempuan itu.
Di
antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah
Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada al-Farazdaq (seorang penyair Arab
yang terkenal) dan Zaid bin Amar bin Nufail.
Sa’sa’ah
telah membeli anak perempuan daripada kedua ibubapa mereka kemudian
memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang
dipeliharanya ialah 360 orang. (At-Thabarani dalam al-Mu’jamu al-Kabir,
jilid 8, ms. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak
terpengaruh dengan masyarakatnya yang menyengutukan Allah (s.w.t) dengan
sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat
mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki-baki peninggalan agama Nabi
Ibrahim (a.s). Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapa
mereka lalu memeliharanya hingga dewasa. Kemudian beliau akan membawa
anak perempuan itu kepada dua ibubapa masing-masing lalu berkata kepada
mereka, “Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini bolehlah kamu
mengambilnya, atau kalau kamu tidak mahu biarlah anak-anak perempuan ini
bersama saya.” (Bukhari, jilid 1, ms. 540.)
Zaid
bin Amar bin Nufail bukan sahaja dari keluarga Sayyidina Umar r.a malah
beliau merupakan sepupu Sayyidina Umar r.a sendiri. Adik perempuan
Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id, manakala anak
perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a sendiri. Takkanlah
dalam keluarga yang terkenal dengan usaha-usaha suci menyelamatkan
anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh orang tua mereka, tiba-tiba
seorang yang sangat menyerlah dan terpenting di kalangan mereka melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anak sendiri!
3.
Setelah Mekah dibuka, Rasulullah (s.a.w) berbai’ah dengan
perempuan-perempuan mukmin. Di antara ucapan Baginda (s.a.w) ialah:
“Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun dengan spontan menjawab, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”
Peristiwa
tersebut dicatatkan di dalam kitab-kitab hadits dan kitab-kitab sirah
dengan jelas dan terperinci, kata-kata Hindun ini menunjukkan qabilah
Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini.
Sabda
Rasulullah (s.a.w) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan
bahawa Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu
sabda Baginda (s.a.w) yang bermaksud;
“Sebaik-baik
perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang
terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka amat menjaga
kedudukan dan harta benda suami.” (Sahih Muslim, jilid 16 ms. 81)
Apa
ertinya pujian Nabi (s.a.w) mengenai sifat penyayang mereka terhadap
anak-anak sekiranya mereka juga seperti qabilah-qabilah lain yang
terlibat dengan adat membunuh anak? Sewaktu Nabi (s.a.w) diutuskan
menjadi Nabi, Sayyidina Umar r.a ketika itu berumur 27 tahun. Anak-anak
Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya masih hidup. Mereka
ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.
Dalam
tradisi Arab, seseorang itu dikuniahkan dengan anak sulungnya.
Sebagaimana kuniah Nabi kita (s.a.w) ialah Abu al-Qasim, kuniah
Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin yang merujuk kepada Hafsah, anak
perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a yang
sulung ialah Sayyidatina Hafsah.
Perlu
juga diperhatikan bahawa di sepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri
Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak-anak beliau
dengan mereka itu?
Kerana
sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina
Umar r.a, Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan
isteri-isteri Sayyidina Umar r.a dan anak-anaknya serta hamba sahayanya.
Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan
mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:
i.
Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Utsman bin Maz’un
yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat
permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi (s.a.w). Dengan Zainab ini
Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah,
Abdullah dan Abdul Rahman.
ii. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh.
iii. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Tsabit bin Aflah. Dengannya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.
v. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Dengannya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.
v. Ummul Kultsum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar.
vi. Ummul Kultsum binti Ali bin Abi Talib. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah.
vii.
Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga
Sayyidina Umar r.a telah mendapat anak. Dengan Fukayyah dia mendapat
anak perempuan bernama Zainab dan dengan Luhayyah beliau mendapat anak
bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar.
Jadi anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:
Lelaki:
1. Abdullah
2. Abdul Rahman al-Akbar
3. Abdul Rahman al-Ausath
4. Abdul Rahman al-Ashghar
5. Zaid al-Akbar
6. Zaid al-Ashghar
7. Ubaidullah
8. ‘Aasim
9. ‘lyadh
Perempuan:
1. Hafsah
2. Ruqayyah
3. Fatimah
4. Zainab
Daripada
isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Sayyidina Umar r.a hanya
mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar
dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab
binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafsin.
Pada
ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai hanya 3 orang anak ini
sahaja. Kalau begitu anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh
Sayyidina Umar r.a itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah
Sayyidina Umar r.a betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan,
kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafsin?
Selain
daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logik Sayyidina Umar r.a
baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4
tahun?
Mungkin
juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan
riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarimi di dalam Sunannya,
atau mungkin ia pura-pura terkeliru.
Riwayat
itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah (s.a.w)
lalu dia berkata, “Wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang jahiliah.
Kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai
seorang anak perempuan. Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang
kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya. Dia
terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga. Saya
memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Kata-kata
terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah, “Ayah!”.”
Mendengar
ceritanya itu Nabi (s.a.w) menangis. Orang-orang yang ada berdekatan
dengan Nabi (s.a.w) berkata kepada orang itu, “Kamu betul-betul telah
menyedihkan Rasulullah (s.a.w).” Nabi bersabda, “Orang ini datang
bertanyakan sesuatu yang lebih penting dari itu.” Seraya Baginda (s.a.w)
berkata kepada orang itu, “Ceritakan sekali lagi kisah itu.” Orang itu
pun mengulangi lagi sekali kisah tersebut menyebabkan Rasulullah (s.a.w)
menangis sehingga basah janggutnya.
Kemudian
Nabi (s.a.w) bersabda, “Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh
mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah (s.w.t) dengan
masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakanlah amalan-amalan yang
lain.” (Sunan Daarimi, jilid 1, ms. 3)
Ini
adalah satu kisah dari seorang yang tidak diketahui siapa orangnya dan
apa namanya. Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat telah
mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a padahal cerita ini pun
jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak dapat disabitkan
kerana Wadhin adalah merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80 H dan
wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain di
atasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun
sebelum kelahirannya!
Dalam
istilah ilmu hadits, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’,
kerana perawi di atasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri
adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulama’ rijal hadits tentangnya.
Imam Bukhari, Muslim dan Nasa’i tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu
Saad berkata, “Dia seorang yang dhaif.” Abu Hatim berkata,
“Setengah-setengah riwayatnya baik tetapi sesetengah yang lain sangatlah
buruk.” Jauzajani berkata, “Riwayat-riwayatnya adalah lemah.” (Mizan
al-I’tidal, jilid 4, ms. 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa,
“Ingatannya sangat teruk di samping tertuduh berfahaman Qadariyah.”
(Taqribu at-Tahzib jilid 2 ms. 331)
Bila
riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan
pula tidak disebutkan dengan jelas namanya, kenapa pula ada orang yang
pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyidina Umar r.a? Tentu sekali
perbuatan seperti ini tidak berani dilakukan dengan sengaja, kecuali
oleh musuh-musuh Islam.